KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, menunggu laporan rasmi dan pandangan perundangan dari pejabat Peguam Negara (AG), berhubung kedudukan empat ahli Parlimen dari parti Bersatu yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, keputusan muktamad adalah terpulang kepada Speaker (Dewan Rakyat) dalam masa 21 hari, selepas notis diberikan kepada beliau.

"Tetapi dalam pindaan Perlembagaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), diletakkan beberapa syarat untuk membuat kepastian.

"Jadi di luar bidang kuasa saya untuk memberikan komen. Tapi saya tunggu laporan dan 'legal opinion' Peguam Negara," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu empat Ahli Parlimen Sabah itu, selepas menutup Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022, di sini hari ini.

BACA: ADUN Bersatu Sabah keluar parti: Apa yang kita tahu setakat ini

BACA: Ini sebabnya empat ahli Parlimen GRS tidak akan hilang kerusi - Peguam

Kelmarin, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pemimpin Bersatu Sabah membuat keputusan sebulat suara untuk keluar daripada parti itu, namun kekal di bawah GRS.

Empat Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Armizan Mohd Ali, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Papar), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi).

-- BERNAMA